| Harakahdaily |
| KUALA LUMPUR, 21 Julai: Timbalan Presiden PAS, Nasharuddin Mat Isa (gambar) mengajak pemimpin dan ahli PAS di semua peringkat tidak terjerumus dalam mainan media Umno berhubung isu kerjasama Umno-PAS. Peringatan itu dilontarkan bagi mengelakkan salah faham dan kekeliruan di kalangan rakyat berhubung kenyataan balas pemimpin yang sering diputar belit media arus perdana. "Saya selaku Timbalan Presiden PAS ingin menegaskan supaya "semua ahli dan pimpinan PAS supaya jangan terikut-ikut dengan rentak yang dimainkan oleh media arus perdana". "Kebelakangan ini, isu kerjasama antara PAS dan Umno kembali dipaparkan oleh media-media arus perdana sehingga mengelirukan sebahagian ahli PAS dan masyarakat Malaysia umumnya. "Malah, pihak media telah mendapatkan beberapa pandangan daripada pemimpin-pemimpin PAS di peringkat pusat, negeri dan kawasan berhubung perkara ini," katanya dalam satu kenyataan. PAS, katanya sangat percaya media-media pro-Umno ini akan menimbulkan persepsi baru sehingga boleh merapuhkan wehdah atau kesatuan dalaman PAS sendiri. "PAS masih lagi berpegang dengan ketetapan yang telah dibuat dalam muktamar-muktamar yang lalu. "PAS akan terus memfokuskan kepada gerak kerja mendepani Pilihanraya Umum Ke-13 untuk membentuk Kerajaan Persekutuan yang baru," katanya lagi. Beliau yang juga Ahli Parlimen Bachok menyeru kepada seluruh pimpinan dan ahli agar dapat melipatgandakan usaha untuk memantapkan organisasi terutama diperingkat cawangan dan kawasan serta menambahkan keahlian baru PAS semaksimum mungkin. Isu kerjasama PAS-Umno terus dimainkan Umno dan juga media pro mereka dalam usaha memancing PAS dan mahu melihat PAS berpecah. Terbaru, akhbar Utusan Malaysia hari ini sekali lagi memutarbelitkan kenyataan Ketua Dewan Pemuda PAS, Nasrudin Hassan sehingga menggambarkan beliau pro-kerjasama PAS-Umno. Akhbar itu memetik tulisan dari blog Nasrudin dan cuba memesongkan maksud sebenar tulisannya dalam blog http://episodeperjuangan.blogspot.com. bagi kepentingan politik Umno-BN. Nasruddin ketika mengulas perkara itu berkata, beliau kesal dengan sikap akhbar tersebut dan menyatakan "Tulisan saya telah diambil secara tidak beramanah dan Utusan telah menjatuhkan etika kewartawanan. "Saya memberi peringatan kepada pihak akhbar tersebut dan minta supaya membuat permohonan maaf secara terbuka," katanya ketika dihubungi Harakahdaily. |
Thursday, July 22, 2010
Jangan terperangkap mainan media
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment