Saya cukup tertarik dengan usaha tidak pernah putus asa dan jemu, Tan Sri Harusani Zakaria, Mufti Kerajaan Negeri Perak yang begitu bersungguh-sungguh berusaha untuk mempertemukan dan berusaha menggabungkan kerjasama politik Umno dan PAS sekali lagi kerana bimbang orang Melayu akan hilang kuasa pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) jika Umno dan PAS terus berdegil untuk tidak bersatu.
Sebagaimana semua sedia maklum, sejak tamatnya pilihanraya umum ke-12 April 2009 ekoran keputusan rakyat Perak menolak kerajaan Umno/BN beliau berusaha mengekalkan kerajaan Umno/BN di Perak. Usaha beliau tidak berjaya kerana PAS mesti menunaikan janji politik dengan sekutu mereka (PKR dan DAP) bagi membentuk kerajaan baru Pakatan Rakyat Perak yang akhirnya, Ir. Mohamad Nizar Jamaluddin dilantik sebagai Menteri Besar.
Tetapi kerajaan Pakatan Rakyat Perak tidak dapat bertahan, belum pun berusia setahun pun ianya berjaya ditumbangkan dengan mudah oleh Umno dan Barisan Nasional, disebabkan kurang pengalaman politik dalam menerajui kerajaan yang dibentuk dengan majoriti tipis sebanyak 3 kerusi sahaja. Dengan menggunakan strategi Adun lompat parti bila mana 2 Adun PKR (Jamaluddin Mohd Radzi – Behrang dan Osman Jailu – Changkat Jering) dan 1 Adun DAP (Hee Yit Foong – Jelapang).
Sejak Umno merampas balik kerajaan Perak secara tidak demokratik melalui persidangan Dun atau pilihan raya, Mufti Perak Tan Sri Harusani tidak dilihat berusaha untuk mendekatkan PAS dengan Umno untuk sekian lama. Cuma bila pemimpin-pemimpin utama Umno menyuarakan hasrat bekerjasama dengan PAS baru-baru ini, Tan Sri Harussani menawarkan diri untuk menjadi “orang tengah”.
Sejarah cubaan kearah kerjasama antara dua parti ini sudah lama wujud. Ianya bermula selepas Umno dan Perikatan kalah teruk dalam pilihanraya umum 1969 dan kemudian berlakunya Tragedi 13 Mei 1969.
Kesan daripada tragedi 13 Mei tersebut akhirnya PAS bersetuju menerima pelawaan Umno membentuk kerajaan campuran PAS-Perikatan (Umno-MCA-MIC) sebelum membentuk kerjasama yang kuat sehingga tertubuhnya satu kerjasama politik yang baru di bawah pembentukan Barisan Nasional (BN) pada tahun 1973.
Disebabkan untuk mengelakkan pertembungan politik yang keterlaluan, Tun Abdul Razak, Perdana Menteri dan Presiden Umno ketika itu menghulurkan “salam persahabatan” kepada PAS.
Mengikut cerita Tan Sri Abdullah Ahmad, dalam kolumnya disebuah akhbar harian berbahasa Melayu, beliau menjadi utusan atau “perantara” Tun Razak terhadap Datuk Asri yang ketika itu adalah Menteri Besar Kelantan dan Yang Dipertua PAS Pusat.
Namun, langit juga tidak selalunya cerah, mendung hadir secara tiba-tiba, hujan pun turun bersertakan guruh dan kilat sabung menyabung, akhirnya PAS di tendang keluar oleh Umno-BN pada tahun 1978 bila Umno beralih tangan kepada Tun Hussein Onn. Sebagaimana bapanya, Datuk Hishammuddin yang sekarang ini menjadi Naib Presiden Umno tidak menunjukkan minat yang bersungguh menjayakan kerjasama politik Umno-PAS ini.
Begitu juga dengan apa yang cuba dilakukan oleh anak Tun Abdul Razak, Datuk Seri Najib yang menjadi Perdana Menteri sekarang ini tidak mengikut strategi yang dilakukan oleh bapanya sebelum ini. Tak perlu bagi beliau menyebut, Umno bukan lemah untuk bersatu dengan PAS kerana menampakkan keegoan Umno dalam menyatupadukan orang Melayu dan Islam sekarang ini.
Sekiranya ada kesungguhan di kalangan pimpinan tertinggi Umno untuk bekerjasama dengan PAS demi kepentingan Melayu/Islam, mereka boleh mulakan kerjasama ini di peringkat kerajaan dengan kerajaan (G to G) dahulu sebagaimana yang dilakukan oleh Tun Abdul Razak dahulu.
Sama ada akan berlaku kerjasama politik atau tidak, biarlah keadaan dan masa yang akan tentukan. Sejarah semasa bergabung dengan Umno dahulu masih segar dalam lipatan ingatan dan agak sukar untuk dilunturkan. Selain itu, kenyataan Mursyidul Am PAS bahawa Umno menolak Islam juga menjadi punca parti itu menolak usaha untuk bekerjasama bergabung. Jika dilihat kepada kenyataan tersebut, ternyata ianya mempamerkan fahaman berbeza kedua-dua parti politik mengenai Islam.
Naib Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, kenyataan Timbalan Presiden Umno, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang mempelawa orang tengah dalam menjayakan kerjasama Umno-PAS sebagai sia-sia. Dalam keadaan sekarang, Tan Sri Muhyiddin Yassin selaku Timbalan Perdana Menteri perlu mengambil inisiatif bertemu dengan Menteri Besar Kelantan dan Menteri Besar Kedah bagi mengadakan kerjasama di peringkat kerajaan.
No comments:
Post a Comment